Ternyata amalan yang dilakukan oleh kaum jahiliyah amat sukar dikikis dan dihapuskan dalam masyarakat kita, sebaliknya kaum jahiliyah ini telah mengancam umat Islam masa kini. Ancaman-ancaman yang dilakukan oleh golongan jahiliyah terhadap umat Islam meliputi semua aspek kehidupan seperti:
Akidah.
Akidah jahiliyah adalah bertentangan dengan aqidah Islam, sama ada dari aspek kepercayaan, perkataan atau pun perbuatan. Akidah jahiliyah adalah karut iaitu tidak mahu menerima dan patuh dengan ajaran Islam serta mengingkari hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al Qur’an dan al Sunnah. Contohnya mempercayai tilik nasib, bomoh dan juga tangkal azimat.
Firman Allah SWT :
Maksudnya :“Allah telah mensyaria’atkan agama untukmu semua iaitu yang diwasiatkan kepada Nuh yang Kami wahyukan padamu, juga Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, hendaklah kamu semua menegakkan agama itu dan jangan berselisih di dalam melaksanakannya.” (Asy-Syura : 13)
Hanya Allah yang wajib disembah dan tempat untuk meminta pertolongan. Umat Islam hendaklah menjauhi ancaman golongan jahiliyah yang cuba memesongkan aqidah mereka dengan kepercayaan yang karut seperti menyembah pokok, matahari, kubur dan sebagainya. Sebaliknya umat Islam diseru supaya sentiasa menegakkan agama Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Ibadah.
Ancaman jahiliyah terhadap ibadah umat Islam hari ini adalah dengan mewujudkan pusat-pusat hiburan seperti pub, karaoke dan sebagainya. Begitu juga media cetak dan media elektronik yang turut memaparkan pelbagai jenis hiburan yang ada sesetengahnya tidak sesuai untuk dibaca atau ditonton. Pusat-pusat hiburan ini akan memberi kesan kepada umat Islam, terutamanya golongan remaja dari mengerjakan ibadah. Mereka (umat Islam) akan sentiasa sibuk dengan hiburan sehinggakan tiada masa untuk mengerjakan ibadah seperti sembahyang berjamaah, bertadarus dan lain-lain lagi. Masjid dibiarkan kosong tanpa penghuni dan kalau ada pun hanyalah golongan tua yang tidak berdaya untuk mencari hiburan.
Untuk melawan ancaman ini, umat Islam harus kuat dan bersatu padu sama ada dengan cara memulaukan pusat-pusat hiburan ataupun pihak yang berwajib tidak mengeluarkan lesen untuk membina pusat-pusat hiburan secara berleluasa. Hanya amalan yang diredhai Allah sahaja yang menjadi penolong kita di akhirat.
Sosial.
Sistem sosial yang diamalkan oleh golongan jahiliyah ialah pilihan antara individu dan masyarakat. Sekiranya mereka memilih kehidupan individu, hak itu dianggap suci dan tidak boleh dicerobohi. Mereka memandang tinggi kedudukan individu sehingga mengabaikan hak masyarakat. Masyarakat tidak boleh mencampuri urusan peribadi, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan.
Di satu pihak lain, sekiranya sistem sosial mereka ditegakkan di atas kehidupan masyarakat, mereka akan menganggap masyarakat itu suci dan lebih berhak atas segalanya sehingga mengabaikan hak individu. Individu tidak berhak memikirkan sesuatu, menentukan fikiran, kepercayaan dan adat kebiasaannya sendiri. Individu harus tunduk kepada masyarakat.
Ancaman sosial jahiliyah hari ini begitu jelas dan nyata terhadap umat Islam, oleh itu untuk membanterasnya umat Islam tidak boleh memisahkan antara individu dan masyarakat. Sebaliknya individu dan masyarakat harus saling bergantungan untuk menegakkan agama Allah. Apabila masyarakat mengambil tahu hak individu dan individu mengambil tahu hak masyarakat, maka masalah sosial yang berlaku seperti buang bayi, sumbang mahram, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dapat dihapuskan.
Akhlak.
Akhlak masyarakat jahiliyah sangat buruk di mana mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa batasan. Mereka tidak ada sistem nilai seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh yang memberi balasan kepada pelakunya sama ada mendapat pahala ataupun dosa. Oleh sebab itu mereka boleh bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, melakukan zina, meminum arak, berjudi, hisap dadah, memakan pil estacy dan sebagainya. Tiada lagi adab sopan dan tatasusila sebagai seorang yang bergelar Islam. Ancaman ini menyebabkan manusia tunduk dengan hawa nafsu yang dipimpin oleh syaitan.
Sebagai seorang yang beragama Islam, marilah bersama-sama kita berusaha untuk mengembalikan semula akhlak Islamiyah ke dalam masyarakat agar mereka tidak terus terleka dengan keseronokan dunia.
Firman Allah:
Maksudnya :Dan tidaklah (dinamakan) kehidupan dunia ini melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (al-Ana’am : 32)
Pemikiran.
Jahiliyah sentiasa ingin merosakkan pemikiran umat Islam dari aspek hubungannya dengan tuhan, dengan alam dan kehidupan sesama manusia. Mereka menyelewengkan pemikiran manusia mengenai hakikat ketuhanan yang sebenar serta hubungan manusia dengan tuhan. Mereka menyeleweng dari tujuan asal mengapa manusia diciptakan sebagai khalifah Allah yang ditugaskan untuk menegakkan Islam dan menjaga keamanan di muka bumi. Sebaliknya jahiliyah mempunyai taghut yang menyebabkan kehidupan manusia terbahagi kepada dua :
• Cenderung kepada ketuhanan.
Walaupun Tuhan (Allah) masih tetap disembah, tetapi pemikiran mereka lebih dikuasai oleh ‘tuhan-tuhan’ yang tidak berhak disembah yang mereka sengaja ada-adakan.
• Cenderung kepada alam nyata / dunia. (Menjauhi agama Allah)
Yang cenderung untuk menjauhi agama Allah adalah lebih ramai yang akan menyebabkan rosaknya kehidupan di muka bumi. Mereka leka dengan keindahan di dunia yang melampaui batas seperti menceburkan diri ke lembah maksiat dengan berjudi, minum arak berzina dan sebagainya. Mereka lupa dengan kehidupan akhirat dan lalai dalam mengerjakan suruhan Allah.
Ekonomi.
Ekonomi jahiliyah lebih menguasai ekonomi Islam. Amalan riba semakin bertambah. Bagi orang-orang yang mengamalkan ekonomi jahiliyah riba’ telah menjadi nadi dalam kehidupan seharian.
Allah SWT berfirman:
Maksudnya :“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli(berniaga) dan mengharamkan riba” (Al-Baqarah : 275)
Dari ayat di atas jelas kepada kita bahawa Allah telah mengharamkan riba’ dan menghalalkan jual beli. Ekonomi jahiliyah telah membolehkan riba’ yang amat bertentangan dengan ekonomi Islam. Ternyata riba’ telah memeras hak masyarakat Islam dan ekonomi jahiliyah lebih cenderung kepada ekonomi Kapitalisme, yang mana masyarakat sentiasa ditindas untuk keuntungan sebelah pihak.
Untuk mendapat keberkatan dari Allah, maka kita hendaklah menolak ekonomi jahiliyah dan mengamalkan sistem ekonomi Islam.
0 comments:
Post a Comment