Wednesday, January 5, 2011

Filled Under:

Raikan cinta...

Suatu petang yang damai

“ Abang , ana ada masalah sikit la. Nak share dengan abang , boleh?.” Seorang adik menyoal saya.

Soalannya itu saya balas dengan senyuman.


“ Boleh,tidak jadi masalah,” Jawab saya sambil memandang ke arahnya.


“ Tapi Abang, ana rasa segan la nak bagitau,” Adik itu memulakan perbicaraan.


“ La, anta ini. Macam tidak biasa pulak dengan ana,” Balas saya kepadanya.

“ Macam ini..” Percakapannya agak tersangkut-sangkut seolah-olah macam menyembunyikan sesuatu.

“ Apa dia, jangan la dok segan-segan dengan ana,”saya seseolah mendesak.

“ Ana sebenarnya, jatuh hati kepada seorang pelajar puteri. Setiap kali terpandang wajahnya, hati ana berdebar semacam je,” Katanya sambil mata tunduk ke bawah.

Saya tersenyum sambil memegang bahunya.

“ Alhamdulillah,syukur kepada Allah SWT,” ucap saya.

“ Hah? Kenapa abang cakap macam tu,” dia terkejut dengar jawapan saya.

“ Ya lah, anta ada perasaan kepada lawan jantina. Itu fitrah manusia. Maksudnya anta ini manusia normal.” Saya menerangkan kepadanya secara ringkas.

“ Tetapi, apa yang penting di sini ialah bagaimana anta nak pastikan perasaan ini benar-benar disalurkan kepada keredhaan Allah SWT dan bagaimana sikap anta hendak menguruskan perasaan cinta ini agar anta semakin dekat dengan Allah SWT.” Ujar saya.

Selalunya, adik-adik sewaktu saya sekolah dahulu selalu berkongsi masalah dan kisah cinta mereka dengan saya. Begitulah fitrah manusia, kisah perasaan fitrah yang seharusnya difahami secara betul dan benar bersumber Al-Quran dan As Sunnah.


Cinta itu perasaan yang unik dan mendalam

Cinta merupakan suatu perasaan yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada setiap insan yang ada dimuka bumi ini. Cinta adalah suatu perasaan yang lahir daripada jiwa dan naluri manusia. Maha Penyayang dan KasihNya Allah SWT yang mengurniakan perasaan cinta ini kepada manusia sehingga dengan perasaan yang suci dan bersih inilah kehidupan manusia itu hidup dan memberi kekuatan kepada sekalian manusia.

Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita manusia yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta ini boleh membinasakan dan merosakan malah boleh menjadikan seseorang itu manusia yang sebaliknya.

Sebagai seorang manusia yang normal, setiap daripada kita mempunyai perasaan ingin dicintai dan ingin mencintai. Perasaan ini adalah perasaan fitrah yang sejajar dengan keinginan dan kehendak fitrah manusia itu sendiri. Cinta diiktiraf sebagai keperluan dalam kehidupan, dan juga jalan untuk mengenal dan membesarkan Allah SWT, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 49 surah Adz Dzariyat yang bermaksud :

“ Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah.”

Hebatnya Allah SWT, alam yang terbentang luas ini menandakan cinta dan kasih sayang Allah SWT. Kita hamba Allah SWT yang memperolehi nikmat yang pelbagai ini juga kerana cinta dan kasih sayang Allah SWT. Hidupnya manusia di muka bumi ini dengan aman dan damai bertitik tolak atas dasar kasih sayang dan perasaan cinta ini.

Saya teringat satu kata-kata seorang ulama : “ Cinta itu adalah tiang seri kehidupan, tanpa cinta akan musnahlah kehidupan itu sendiri.”

Hakikatnya, dengan kekuatan cinta inilah kita hidup dan perjuangan untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan. Cinta fitrah yang kita dambakan adalah cinta yang merangsang perasaan untuk sayang dan menyintai Allah SWT, menaikan semangat perjuangan kehidupan , meneguhkan jiwa tatkala badai kesulitan menghimpit diri dan cinta yang memberi makna kepada kehidupan.


Kekuatan cinta

Cinta yang diperlukan adalah cinta yang menguatkan bukannya melemahkan, cinta yang menyucikan perasaan dan kehormatan, bukannya merosakkan dan mengotorkannya. Inilah cinta fitrah yang seharusnya difahami.

Imam Ghazali melihat cinta sebagai unsur yang menyenangkan dan memberi tarikan dalam hati manusia. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengupas soal cinta manusia dan cinta ketuhanan yang saling berkaitan antara satu sama lain. Katanya juga, cinta itu adalah sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyikan. Jika dilamun gelojak perasaan cinta, seseorang yang bercinta akan merasai perasaan rindu yang bersangatan dan terkenang-kenangkan orang yang dicintainya. Inilah cantiknya Islam, kerana ia meletakan cinta pada tempat yang tertinggi iaitu cinta suci kepaa Yang Maha Pencinta dan menjadikannya agenda utama dalam Kehidupan.

Saya tertarik dengan ulasan Dr Mahmud asy-Syarif di dalam bukunya Al-Hubb fil Quran berkaitan cinta.

Katanya : “ Islam adalah agama cinta dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta.”

Namun, cinta yang suci, bersih dan jernih ini akan menjadi jijik, kotor dan memualkan apabila jalan saluran cinta itu berlawanan dengan tuntutan Islam. Inilah yang kita katakan cinta itu mengundang fitnah. Dewasa kini, makna cinta itu telah dikecilkan skop kefahamannya hanya menjurus kepada hubungan cinta di antara lelaki dan perempuan dan lebih menyedihkankan cinta itu hanya dipandang dari sudut cinta romantik atau cinta berahi (syahwat) semata-mata.

Apabila perasaan cinta ini tidak dikawal dan dipandu oleh panduan syara’, kita dapat lihat kesan dan natijahnya di dalam suasana pada hari ini. Setiap hari kita dapat melihat menularnya gejala keruntuhan akhlak yang melibatkan pergaulan antara lelaki dan wanita di kalangan anak-anak remaja. Dan lebih menyedihkan budaya berpasangan atau couple itu menjadi sesuatu yang biasa pada hari ini.


Menguruskan Cinta

Saya berikan beberapa tips untuk mengurus cinta ini menurut pandangan Islam.

Pertamanya, membina dan membentuk keimanan yang benar kepada Allah SWT dengan sebenar-sebenar keimanan.


Keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT menjadi tunggak kepada terbinanya rasa untuk kita membentuk perasaan cinta yang agung, tulen dan benar kepada Allah SWT.

Ibnu Qayyim ada menyebut : “ Sekiranya kita memilih jalan keimanan dan ketaqwaan, ini bermakna kita memilih jalan kesukaran dan kepayahan.”

Jalan keimanan menuju keredhaan Allah SWT adalah jalan yang getir dan sukar. Namun jalan inilah yang akan menambah rasa kecintaan dan kepasrahan kita kepada Allah SWT. Jalan inilah yang akan memberi kemanisan kita ketika segala bentuk ujian dan cabaran datang menghimpit diri dan tekanan yang menekan dada. Namun, semua ini akan menjadi suatu kekuatan sekiranya ia dihadapi dengan kecintaan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Keduannya, mengurus perasaan cinta ini dengan panduan yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.


Apabila kita meningkat dewasa, keinginan dan hajat untuk mencintai lawan jantina akan hadir secara nalurinya. Ketika itu, kita perlukan panduan untuk merujuk dan bergantung sebagai “manual” panduan untuk mengurus kehidupan. Saya ingin tekankan di sini, uruslah perasaan cinta yang hadir itu dengan meletakan iman di hadapan kita. Iman di dada lah yang akan menjadi faktor utama kita untuk mengurus perasaan ini sehingga segala tindak tanduk kita mendapat keredhaan Allah SWT.


Ketiga, sentiasa menjaga pandangan dan menjauhi maksiat serta dosa.


Secara umumnya, perasaan cinta akan disalurkan kepada jalan yang salah sekiranya soal dosa dan maksiat ini menjadi perkara biasa dalam kehidupan kita. Islam menekankan tentang konsep dosa dan pahala ini adalah sebagai mekanisme untuk manusia “menjaga” diri daripada terjebak daripada perkara-perkara yang boleh memutuskan hubungan hati dengan Allah SWT.

Cinta yang bersulamkan dosa dan maksiat, akan membawa seribu penyesalan kepada pendosa tersebut. Dan dosa hubungan cinta inilah yang paling banyak menjerat golongan remaja pada hari ini. Bagi saya, dosa itu satu bebanan kepada si pelaku dosa. Bebanan ini akan terus “memburu” si pendosa tadi sehingga ke akhir hayatnya, kecuali ia sesali perbuatannya dengan bertaubat.

Keempat, banyakan berdoa, bermunajat dan memohon kekuatan daripada Allah SWT.

Doa itu adalah otak dan juga jantung kepada Ibadah. Malah, doa itu senjata orang-orang beriman. Bagi yang telah jatuh cinta, tadahkan tangan kalian dan mohonlah doa kepada Allah SWT. Berdoalah agar kita dikurniakan cinta dan kasih yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Kata Saidina Ali Bin Abi Talib daripada Nabi Muhammad : “ Doa adalah senjata orang Islam, tiang penyokong agama serta cahaya langit dan bumi.”

Maka, wahai remajaku salurkan perasaan cinta ini kepada yang selayakNya. Jadikan cinta yang sesuci embun ini, mendekatkan kita dengan Sang Khalid yang Maha Pencinta. Buaikan perasaan CINTA kalian untuk keredhaan yang agung dan bercita-cita untuk meraih kasih sayang dan cinta yang mulia dan bererti dalam kehidupan yang fana ini.

0 comments:

Post a Comment

Photobucket
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright @ 2013 wArDaTuL hAmRa' SiTe... (^^).