Pandanglah kata-kataku ini dengan pandangan kasihnya seorang saudara terhadap saudara yang lain. Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan dan tinggalkan kata-kataku yang menyimpang daripada landasan kebenaran.
Sahabatku...
Bermula hari ini binalah sebuah kehidupan baru. Jadilah manusia berhati mulia dan tegakkanlah sinar keIslaman dalam dirimu, semoga nur ILAHI akan membening seluruh perjalannan hidupmu.
Duhai sahabat muslimahku...
Keremajaanmu menyegarkan pandangan, dan melimpahkan nyaman pada malam. Dengan keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk dunia dalam lalai dan leka tanpa kesedaran. Ingatlah, kau bukan dilahirkan sebagai penggoda yang melekakan dunia. Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka. Kelembutan yang menghiasi gerak langkah dan lentuk tubuhmu bakal menyaksikan kau cepat terdedah kepada bahaya dan bahana maksiat.
Peliharalah keindahan yang kau miliki kerana ALLAH mengujimu dengan menerbitkan kau pada bentuk yang teramat indah, halus dan sempurna. Berhati-hatilah kerana sesungguhnya kaum Adam akan menilaimu dengan pandangan yang luar biasa.
Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan. Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut sang gadis. Elokkanlah nada suaramu dan perlahankan gema bahasamu. Berhati-hatilah menggunakan lidahmu, jangan sampai bibirmu menutur bait-bait tajam yang akan menyakiti hati orang lain. Fikirlah dengan akalmu sebelum bersuara dan pandanglah teman bicara. Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan, yang bakal ditanggapi menyamai keindahan yang kau miliki setanding dengan ketulusan peribadimu.Sahabat muslimahku..
Jagalah matamu kerana pandangan mata akan mengalir ke hati dan terbiaslah sesuatu dari panahan syaitan durjana. Jangan sesekali kau memandang mata lelaki dengan sejenak renungan. Jangan biarkan mereka mentafsirkan makna yang bukan kau mahukan. Pandanglah tanpa memberi sebarang makna. Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan matamu. Rebahkan pandanganmu, renunglah setiap inci bumi, nescaya kau berjaya menghindari dosa yang cuba merapatimu.
Ukhti yang dikasihi..
Sesekali, mendongaklah ke langit dan lihatlah kerdipan bintang-bintang, nescaya kau kan temui berjuta keagungan ciptaan Rabbul A`lamin. Betapa hidup ini berjalan di atas makna hikmah dan terselindung daunan pengertian. Hari-hari yang dilalui sebenarnyamenyembunyikan banyak hakikat dan makrifat. Sedarlah, hidupmu ini hanyalah secebis dari erti kehidupan.Selamilah dasar hatimu dan berbisiklah pada diri. Alangkah kosongnya jiwa, alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-apa. Salutilah tubuhmu dengan iman. Kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu, kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan.
Jadilah seorang muslimah yang gemar merenung kejadian yang berlaku dan memerhati hikmah dengan mata hati. Muslimah sejati adalah mereka yang selalu berhikmah dalam berkata-kata dan meletakkan perasaan rendah diri sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud dalam pencarian dunia dengan meletakkan tasawuf ke akhirat sebagai pedoman serta melupakan sifat cintakan dunia yang berlebihan.
Serikandi muslimah sejati..
Alangkah baiknya di saat-saat kau dilanda tribulasi, kau tega mengutip akar-akar kemelaratan dan teguh mengukir senyum buat pengubat kerungsingan. Tatkala kau dalam dilema permasalahan yang meruncing serta kau berasa putus harap dengan dunia, maka sebutlah dan zikirlah berkali-kali ke hadrat ILAHI moga-moga kau bakal bertemu kedamaian.
Sucikan wajahmu dengan air wuduk dan basahkan matamu dengan airmata keinsafan. Tundukkanlah sepenuh hatimu jua dahimu ke tikar sejadah beserta lafaz dan doa kau hembuskan seikhlas jiwa, semurni sanubari memohon keampunan. Renunglah, resapkan kekaguman dan kuatkan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan ALLAH S.W.T. Kecintaan Tuhan melimpah dan melaut di segenap penjuru alam, walaupun pada yang lupa erti kehidupan. Dan, roh ketenangan akan mendakap dirimu hingga kau terasa tiada tabir yang menabiri setiap kali pertemuan kau dan DIA. Ketaqwaan hendaklah dipupuk agar matlamat dan cita-cita yang kau bawa akan tercapai suatu masa kelak dengan izinNYA, Insya-ALLAH..
Akhirul kalam, ingatlah, walau setinggi manapun kedudukanmu di mata masyarakat, jangan sesekali menyombong diri. Sesungguhnya wanita itu lemah. Dan dijadikan lah-rijal sebagai pelindung buatmu. Carilah lelaki yang baik budinya dan teguh imannya. Inilah yang bakal mengukuhkan akar kebahagiaan rohani dan tunjang kecintaan kepada ILAHI, Insya-ALLAH..
Dari Ibn Abbas lah.a dari Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadis ini daripada Tuhannya Tabaraka Wa Ta'ala, katanya
: " Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan yang baik dan yang jahat, dan telah menerangkan keduanya itu. Maka barangsiapa yang bercita kepada kebaikan, kemudian ia tidak mengerjakannya, ALLAH akan mencatit disisinya satu hasanah yang sempurna. Dan jika ia melaksanakan, nescaya ALLAH akan mencatitkan di sisinya sepuluh hasanah hingga tujuh ratus kali lipat ganda dan hingga sampai beberapa kali ganda banyaknya. Dan jika ia bercita-cita mengerjakan sesuatu kejahatan kemudian tidak dilakukannya, ALLAH akan mencatitkan di sisinya satu hasanah yang sempurna. Jika ia meneruskan cita-citanya yang jahat itu dan melakukannya, ALLAH akan mencatitkan baginya satu kejahatan sahaja.
0 comments:
Post a Comment