Berhala biasanya ditafsirkan sebagai patung, objek yang disembah, dipuja, diagung-agungkan. Tetapi untuk makna yang lebih luas, berhala juga boleh membawa maksud apa-apa yang disembah selain Allah SWT. Tidak semestinya dalam bentuk objek, bahkan mungkin juga dalam bentuk ism atau perkara.
Persoalan terpenting untuk diri kita, apakah wujud berhala di dalam hati kita?
Di dalam hati wujud berhala?
Ya. Mungkin sahaja kita tidak sedar akan kehadirannya.
Adakah di dalam hati anda wujud berhala?
Mari kita sama-sama menelitinya.
Pembentukan berhala di dalam jiwa
Bagaimana? Bagaimana wujudnya berhala di dalam jiwa?
Mudah. Berhala di dalam jiwa tercipta dan terwujud apabila kita melebihkan perkara lain daripada Allah SWT, sehingga benda lain itu kita rasakan lebih penting daripada Allah SWT, sehingga kita utamakan perkara lain itu daripada Allah SWT.
Maka, secara tidak langsung, ‘berhala’ sudah terwujud di dalam kehidupan kita.
Ketaatan, ketundukan, pengorbanan kita, semuanya kita berikan melebihi apa yang kita berikan kepada Allah SWT. Silap hari bulan, kepada Allah SWT itu langsung tidak kita berikan pun ketaatan, ketundukan dan pengorbanan.
Di titik ini, berhala sudah terwujud hakikatnya.
Walaupun pada mulut kita menyatakan bahawa kita tidak menyembah selain Allah SWT, tetapi ketahuilah sesungguhnya keimanan itu bukan dengan kata-kata sahaja. Ianya apa yang tersemat di dalam hati dan dibuktikan dengan amal.
Maka sekarang, perhatikanlah kehidupan kita. Adakah ada perkara-perkara yang membuatkan kita mengendahkan arahan Allah SWT, meringan-ringankan perintah-Nya dan mendekat-dekatkan kita pada larangan-Nya?
Maka itulah dia berhala kita.
Penangan berhala di dalam jiwa
Kesan mempunyai berhala di dalam jiwa, semestinya semakin jauh daripada Allah SWT. Bagaimana agaknya fokus seorang manusia boleh kekal 100% apabila dia perlu memerhatikan dua perkara yang berbeza?
Menonton bola di stadium hingga tinggal solat. Bola dan solat, bola lebih penting. Solat boleh qada’ katanya. Bola kalau tonton yang tak ‘LIVE’, tak sah katanya.
Mendengar lagu-lagu lebih banyak dari mendengar dan membaca Al-Quran. Katanya lagu lebih menghiburkan dan Al-Quran meletihkan. Al-Quran sehari seayat sahaja sudah cukup. Lagu-lagu biar penuh 24 jam.
Hukum-hukum Allah kita tinggal. Tak pakai. Katanya ketinggalan zaman dan tidak relevan. Hukum-hukum ciptaan manusia kita junjung. Kita kata itulah dia kemodenan.
Main game sampai lupa tuntutan sebagai hamba Allah, sebagai pelajar yang belajar ilmu Allah, sebagai anak yang perlu taat pada kedua ibu bapa atas arahan Allah.
Bekerja dan studi bagai nak rak, hingga perintah-perintah Allah seperti solat diringan-ringankan. “Ala, solat lambat-lambat tak mengapa.” Dan kadangkala sampai tak solat langsung. Alasannya: “Aiseh, tadi tertidur plak lepas studi” Sedangkan ketika dia mempunyai peluang solat awal, dia tak lakukan solat itu tetapi mengutamakan studinya.
Memuja-muja sesuatu melebihi pujaannya kepada Allah SWT. Berzikir kepada Allah tidak pernah, ingat Allah tidak pernah, tetapi artis pujaan, bintang bola sepak, pelakon-penyanyi, itu lebih bersarang dalam jiwanya, lebih diingati, lebih diutamakan. Itu juga adalah berhala-berhala dalam jiwa.
Apabila wujud dua cinta yang berlawanan, salah satu cinta perlu dikorbankan.
Dan manusia sering mengorbankan cinta Allah SWT.
Mereka mengutamakan berhala di dalam jiwa mereka.
Kerana nafsu telah membutakan mata hati mereka.
Apakah kita sebahagian dari mereka?
Runtuhkanlah berhala di dalam jiwa itu
Mudah ceritanya, berhala di dalam jiwa adalah kecintaan-kecintaan kita kepada apa-apa sahaja selain daripada Allah SWT. Bukanlah dikatakan kecintaan kepada anak isteri tak boleh, kecintaan kepada sahabat-sahabat tak boleh, kecintaan kepada ibu bapa itu tidak boleh. Tetapi di sini, kecintaan yang dimaksudkan adalah, apabila kita mengangkat cinta selain daripada Allah itu lebih tinggi.
Kita ambil contoh cinta kepada ibu bapa. Kita perlu taat kepadanya. Tetapi ada had juga ketaatannya. Kita hanya taat pada mereka selagi mana mereka tidak mengarahkan kita melanggar perintah Allah SWT. Dan sebenarnya, kita taat pada ibu bapa kita pun adalah kerana arahan Allah SWT.
Justeru, ketaatan, cinta, pengorbanan, semuanya kita perlu fokuskan kepada Allah SWT. Sebab Allah adalah Ilahi, Tuhan, Rabb kita.
Berhala di dalam jiwa, kita hapuskan dengan ketundukan kita kepada Allah SWT, dan ketaatan kita kepada-Nya.
Dengan meruntuhkan berhala di dalam jiwa ini, barulah kita mampu tunduk kepada Allah SWT dalam keadaan tidak terikat.
Mereka peruntuh berhala. Ikutan kita
Meruntuhkan berhala di dalam jiwa, perlukan mujahadah. Bukan hanya dengan bicara kata semata. Perlukan disiplin dan kekuatan. Justeru, perlulah kita bersabar dalam usaha meruntuhkannya. Perlu juga kita mencari kekuatan-kekuatan yang mampu membina keutuhan ruh agar mampu meruntuhkannya.
Lihatlah kepada Nabi Ibrahim As. Dia menghapuskan berhala kaumnya, dan kemudian dilemparkan ke dalam api. Ironiknya, ketika dia dilempar itu, Jibril AS dihantar untuk menghulurkan pertolongan. Tetapi lihatlah apa yang dikatakan oleh Khalilullah, Ibrahim AS pada saat tubuhnya sedang melayang hendak dimasukkan ke dalam api itu.
“Kalau pertolongan daripada kau wahai Jibril, maka aku tidak memerlukannya. Cukuplah Allah sebagai pemberi pertolongan kepadaku”
Inilah dia, jiwa mukmin yang bersih, langsung ‘rasa perlu’ kepada perkara lain selain Allah tiada di dalam jiwanya. Selain Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala batu dengan tangannya, dia juga telah membersihkan jiwanya dari berhala-berhala yang ada di dalam dirinya.
“Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!” Surah Al-Anbiya’ ayat 69.
Dan Allah tidak menghanguskannya di dalam api, bahkan menjadikan api terasa sejuk dan menyelesakan untuk Ibrahim AS. Seakan-akan Allah SWT berkata: “Lihatlah apa yang hambaKu ini perolehi. Inilah dia manusia yang menyembahKu, dan tidak pula menyembah selainKu”
Dan perhatikanlah kebanyakan sabda Rasulullah SAW apabila para sahabat meminta nasihat. Nasihat baginda yang pertama sekali adalah:
“Janganlah kau mensyirikkan Allah dengan apa-apa sekalipun”
Dengan apa-apa sekalipun.
Rasulullah SAW menyuruh kita menghapuskan berhala di dalam kehidupan kita. Berhala yang menganggu hubungan kita dengan Allah SWT.
Justeru, apakah kita menyahutnya?
0 comments:
Post a Comment