Saturday, April 23, 2011

Filled Under:

Mengapa tidak mampu keluar dari lubang dosa?

Hendak meninggalkan dosa, perlulah diusahakan dengan mendekati kebaikan ~

“Saya dah berdoa, solat taubat, mohon pada Allah sungguh-sungguh, tapi akhirnya saya kembali melakukan dosa-dosa itu”

Pengaduan yang biasa saya dengar. Yang bertanya kelihatan runsing. Saya risau di dalam hatinya, dia berfikir bahawa dia memang ditakdirkan untuk sedemikian selama-lamanya.

“Usaha tinggalkan dosa tak? Kalau mohon sahaja, tak guna juga” Saya bertanya.

“Usaha. Saya cuba jauhi sungguh-sungguh. Setiap kali lepas solat, saya doa betul-betul. Lepas tu saya buat solat taubat juga. Tapi entah la…”

“Hidup, kamu penuhkan dengan kebaikan tak?” Soalan terakhir saya.

Dan dia diam sahaja.

Di situlah puncanya.

Masa kita 24 jam. Baik dan buruk bertarung mengisi kehidupan

Meninggalkan perbuatan dosa, bukanlah sesuatu yang semudah memadam api pada lilin. Lebih-lebih lagi dosa yang telah menjadi darah daging dalam kehidupan kita. Itu belum dicampur lagi dengan dosa-dosa tersembunyi seperti menonton filem lucah dan sebagainya.

Allah memberikan kita waktu 24 jam sehari. Tidak lebih. Tidak kurang. Justeru, kebaikan dan keburukan bertarung untuk mengisikan diri mereka dalam kehidupan kita sepadat mungkin.

Kita perlu memandang bahawa, kebaikan dan keburukan ini adalah ibarat minyak dan air. Bagaimana sekalipun, ia takkan bercampur. Kebaikan adalah penawar, manakala keburukan adalah virus. Justeru, jika hendak menyisihkan kejahatan, maka kita perlu sentiasa melakukan kebaikan, mengisi kehidupan kita dengan kebaikan.

Penawar, kita perlu berusaha mendapatkannya, menyebarkannya dalam tubuh kita dengan mengambil penawar banyak kali.

Tetapi, virus tidak perlu kita usahakan. Terkena sekali, ianya merebak ke seluruh tubuh dengan sendiri.

Maka, hendak menentang virus keingkaran, kemaksiatan kepada Allah, kita perlukan usaha.

Usaha mengisi kehidupan kita, 24 jam sehari kita, 7 hari seminggu kita, 30/31 hari sebulan kita, 12 bulan dalam setahun kita, dengan kebaikan. Mengisinya penuh. Bukan sedikit-sedikit sahaja.


Silap orang-orang yang bertaubat

Ada orang berfikir bahawa, dengan doa semata-mata, dengan solat taubat semata-mata, maka kejahatan akan hilang dari kehidupannya seperti api yang disimbah air. Ini adalah kesilapan yang nyata. Hal ini kerana, doa dan solat taubat hanyalah usaha, dari banyak usaha yang perlu dilakukan.

Bayangkan. Adakah logik kita mampu meninggalkan perkara yang sudah melekat di dalam jiwa, hanya dengan satu dua amalan? Dan kita jangan lupa, selain nafsu di dalam jiwa yang perlu dijinakkan, syaitan pula sentiasa ada sepanjang masa untuk menggoda kita.

Jadi, bagaimana hanya dengan doa dan solat taubat, kita boleh meninggalkan kemungkaran?

Semestinya perlukan kebaikan-kebaikan lain untuk menambah kekuatan. Solat-solat rawatib, bacaan Al-Quran, zikrullah, usrah, program-program mingguan seperti qiamullail, bacaan Al-Mathurat, dan duduk dengan orang-orang yang soleh. Duduk-duduk bersama keluarga, bercanda dengan anak-anak, melakukan kerja-kerja pejabat, sekolah dan sebagainya juga termasuk dalam kebaikan. Semuanya ini hakikatnya adalah penambah kekuatan.

Persoalannya, adakah kita mengisi kehidupan kita dengan perkara-perkara itu?

Atau kita banyak mengisinya dengan perkara-perkara lagha dan tidak membawa manfaat?

Silap kebanyakan kita adalah, kita fikir dengan meminta ampun sudah cukup.

Tetapi, bagaimana dengan meminta ampun, tetapi kita tidak mengisi pula kehidupan kita dengan kebaikan? Semestinya kita mudah diserang kembali oleh kejahatan.



Neraka, dihiasi dengan perkara yang dicintai syahawat

Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad, ada dinyatakan bahawa Neraka itu dipagari dengan perkara-perkara yang menyenangkan nafsu syahawat.

Justeru, nafsu kita akan sentiasa akan bergerak ke sana ibarat magnet ditarik oleh yang berlawanan kutubnya. Maka, hendak atau tidak, jika benar-benar hendak menyelamatkan diri daripada neraka Allah, maka adalah wajib kita menggerakkan diri kita, menarik nafsu kita agar menghala ke syurga, tunduk pada tuntutan Allah SWT.

Inilah dia perjuangan. Mahar kepada syurga

Syurga itu mahal. Tiada tandingan. Tidak pun mampu difikirkan akal kehebatannya yang sebenar. Bahkan tidak akan terlintyas di hati akan bentuk syurga yang hakiki. Menandakan kehebatannya yang tiada tara.

Maka, perjuangan melawan kejahatan dalam kehidupan kita, perjuangan mengikis dan menyisihkan keburukan dari kehidupan kita, perjuangan menjauhkan diri dari dosa, itu semua adalah bayaran kepada syurga.

Semua itu adalah perjuangan.

Bukannya mudah. Perlukan usaha yang keras.



Kalau sekadar dua tiga amal, jangan kau salahkan Tuhan

Ada orang berkata begini: “Aku dah doa, aku dah solat taubat, tapi aku tetap berpatah balik kepada kejahatan. Nampaknya Allah tidak menerima aku”

Ya kah? Atau kita yang tidak berusaha kuat agar mampu menerima perintah-perintah Allah?

Hidup ini adalah ujian. Persoalannya, apakah kita mampu lulus dalam ujian itu? Ini ujian yang takkan mampu dilulusi dengan fikiran genius. Ini adalah ujian yang hanya mampu dilepasi dengan usaha dan mujahadah.

Persoalannya, siapakah yang bermujahadah?

Ketahuilah, kejahatan itu takkan tertanggal dengan senang lenang. Kerna syaitan bersusah payah berusaha siang dan malam untuk menarik kita ke dalamnya.

Maka, tidakkah logik bahawa kita sendiri perlu bersusah payah menanggalkan kejahatan dan menanamkan kebaikan di dalam kehidupan kita?

Itulah dia kiat meninggalkan dosa.

Bukan hanya dengan duduk bersahaja. Bukan hanya meminta ampun sahaja.

Tetapi juga bergerak berusaha menanam kebaikan dan memenuhkannya dalam ladang kehidupan kita.


Oleh Hilal Asyraf

0 comments:

Post a Comment

Photobucket
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright @ 2013 wArDaTuL hAmRa' SiTe... (^^).