Sejak minggu lepas lagi, beberapa orang rakan telah mula mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Sehingga kini, notification di page laman sosial(facebook) penuh dengan ucapan untuk hari istimewa saya ini..
Alhamdulillah...Tahun ni harijadiku jatuh pada hari Maulidur Rasul.. Semalam saya dihadiahkan teddy bear oleh kakak saya dan pada tarikh keramat ini tanggal 15 Februari 2011 juga bersamaan 12 Rabiulawal 1432H , abang telah menghadiahkan saya senaskah buku bertajuk "Dont Be Sad" karya Dr.'Aidh Bin 'Abdullah Al-Qarni. Tiadalah yang dapat menggambarkan betapa terharu dan gembiranya hati saya dengan pemberian ini semua. Terima kasih juga kepada sahabat yang meng'set' di minda anda tarikh keramat ini dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada saya...syukran..sayang kamu semua!!
Saya pernah ditanya mengenai hukum menyambut hari lahir miladi. Saya juga ada terbaca beberapa artikel mengenainya. Seingat saya, jawapan standard ialah hukumnya khilaf. Mengikut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitab al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, beliau berpandangan hukumnya adalah haram. Ini adalah kerana budaya ini adalah budaya agama lain atau barangkali merupakan budaya masyarakat yang tidak beragama.
Ada juga sebahagian ulamak yang mengharuskannya, selagi mana tidak mengamalkan cara sambutan agama lain.
Apa pun, biasanya ucapan selamat hari jadi di kalangan masyarakat Muslim diiringi dengan doa. Mendoakan rakan adalah satu amalan yang mulia. Nabi sendiri sehingga ke saat ajalnya, masih teringat dan mendoakan umatnya. Allah akan memaqbulkan doa kita untuk rakan, dengan cara mengurniakan kandungan doa tersebut kepada kita sebagai yang berdoa terlebih dahulu sebelum dikurniakan kepada yang didoakan. Siapa yang tidak mahu diri mereka didoakan semasa hari jadi?
Setahun tuanya usia kita, bermakna setahun bertambahnya kecerdikan kita, dan setahun dekatnya kita kembali kepada Allah SWT. Sewajarnya sambutan hari jadi perlu dijadikan peringatan buat diri kita, betapa semakin beratnya kita perlu menggalas amanah ilmu dan dakwah, kerana temujanji kita bertemu dengan Allah semakin dekat.
Apa pun, bagi saya, tiadalah erti hari lahir buat diri saya, melainkan perlu dikembalikan kepada orang yang melahirkan saya, iaitulah ibu tercinta. Terima kasih mak, kerana 22 tahun yang lepas, mak bersabung nyawa melahirkan saya.Ketahuilah mak, bahawa bukannya saya sebagai yang dilahirkan perlu diraikan, tetapi maklah yang patut diraikan kerana melahirkan saya. Daripada rahim mak, lahirnya tiga orang putera puteri pewaris perjuangan nabi. Dengan berkat pengorbanan mak dan arwah abah, alhamdulillah kami semua telah berjaya. Dan tiadalah hadiah hari lahir yang paling bermakna buat diri saya, melainkan keredhaan mak dalam hidup ini.. Terima kasih mak. Moga ada banyak peluang untuk saya membalas budi mak selagi hayat kita dikandung badan…
Erti hari lahir saya, ialah kepada yang melahirkan, dan yang mengurniakan kelahiran. Alhamdulillah, dan terima kasih mak....
0 comments:
Post a Comment