Semalam saya dah rasa semacam. Sebetulnya, saya sudah mula rasa perubahan pada tubuh saya mulai kelmarin. Rasa lemah dan sentiasa mengantuk tak kena masa. Semalam saya kena selsema. Lama dah tak kena selsema. Lebih teruk lagi, bila saya bersin, darah keluar dari hidung. Dada juga saya semakin sakit, dan tulang belakang saya rasa mencucuk-cucuk. Sebelum tidur, kepala saya rasa berat dan tubuh saya rasa panas.
Pagi tadi, saya tidak boleh bangun. Tubuh saya jadi sangat panas, hingus sudah meleleh ke pipi dan ada yang kering, mata saya tertutup dengan tahi mata. Badan rasa sangat sakit dan tidak boleh bergerak. Saya ada janji untuk menghadiri tazkirah Subuh yang dibuat oleh rakan-rakan.
Saya rasa hati saya sakit. Saya memang nak sangat pergi. Kerana saya telah berjanji.
Tetapi apakan daya, saya sakit.
Lama saya berfikir di pembaringan tadi.
Akhirnya, saya dapat sesuatu.
Sakit itu satu nikmat juga sebenarnya.
Nikmat Peringatan
Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan tidak berguna langsung. Yang kita mahu adalah sihat.
Ketika itu kita akan tersedar. Kalau ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan sebagainya, sakit membuatkan kita beringat.
Kadangkala kita akan terfikir, apakah yang telah kita lakukan atas tubuh kita yang sihat sebelum ini? Kadangkala kita akan teringat, perbuatan-perbuatan kita yang tidak sepatutnya kita buat semasa kita sihat.
Ada pepatah berkata:
“Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan”
Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
“Sesungguhnya Aku mampu menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja”
Maka wajiblah kita memperingatkan diri
Allah SWT berfirman:
“Demi Sesungguhnya , Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan brikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” Surah Al-Baqarah ayat 155.
“Dan patutkah mereka tidak mahu memerhatikan, bahawa mereka diuji, pada setiap tahun, sekali atau dua kali(paling kurang), kemudian mereka tetap juga tidak bertaubat dan tidak juga mereka mahu mengingat?” Surah At-Tawbah ayat 126.
“Alangkah baiknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri(taubat dan insaf) ketika mereka ditimpakan azab Kami?…” Surah Al-An’am ayat 43.
“Tidak ada satu kesusahan, yang menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” Surah Al-Hadid ayat 22-23.
Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana itu ini menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia.
Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.
Maka bersyukurlah atas nikmat ini
Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan.
Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?
Ada antara kita menyumpah Allah kerana menyukarkan kehidupan kita.
Namun Allah SWT berfirman:
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu”Surah Asy-Syura ayat 30.
MasyaAllah… sudahlah segala bencana, sakit, adalah disebabkan oleh kita – tak jaga kesihatan, buat makar, buat onar, dll - tetapi Allah ampunkan sebahagian besar dosa kita atas bencana yang datangnya kerana kita.
Bukankah kita sentiasa mendegar: Sakit itu kaffarah dosa?
Di sini kita muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit itu nikmat, yang tidak boleh kita biarkan ia berlalu sia-sia.
(^_^)
ReplyDelete